GitHub Sebagai Hos Laman Web

GitHub adalah satu servis di mana anda boleh meletakkan kod sumber perisian anda dan boleh menjemput pengaturcara lain untuk berkolaborasi membangunkan perisian tersebut. Namun disamping itu, GitHub juga menyediakan servis di mana anda boleh meletakkan laman web anda di situ. Perkhidmatan ini dinamakan GitHub Pages dan disediakan secara percuma!

Artikel ini akan mengandaikan anda sudah biasa dengan GitHub dan Git, kerana jika ingin menerangkan tentang kedua-duanya maka akan jadi panjang ceritanya nanti (mungkin lain kali :).

Untuk menggunakan GitHub Pages, anda mestilah membuat satu repositori yang dinamakan "usernameanda.github.io". Seterusnya anda perlu masukkan halaman-halaman web anda yang di dalam bentuk fail HTML, imej, dan sebagainya ke dalam repositori tersebut. Kemudian, anda boleh terus melayarinya di "http://usernameanda.github.io". Semudah itu!

Panduan langkah demi langkah memulakan GitHub Pages boleh anda dapati di halaman utama GitHub Pages. Sebenarnya ada dua cara penggunaan GitHub Pages, iaitu sama ada laman web untuk user/organization atau untuk project. Dokumentasi penuh anda boleh baca di laman bantuan GitHub Pages.

Untuk lebih jelas, mari kita ambil satu contoh. Laman web MyDev ini sendiri sebenarnya dihoskan oleh GitHub Pages. Username yang kami gunakan ialah "mydevcommunity" dan profil GitHub kami boleh dilihat di https://github.com/mydevcommunity. Kandungan laman web ini kami letakkan di repositori mydevcommunity.github.io. Ini membolehkan ia dilayari di http://mydevcommunity.github.io.

Domain "www.mydev.my" sebenarnya dihalakan ke domain "mydevcommunity.github.io". Cara untuk menggunakan domain anda sendiri bersama GitHub Pages ada di sini.

Jika anda perhatikan dalam repositori tersebut, kami sebenarnya tidak hoskan terus fail-fail HTML, tetapi kami menggunakan sejenis CMS (Content Management System) dinamakan Jekyll.

GitHub Pages menyokong penggunaan Jekyll di mana pengguna tidak perlu menguruskan fail-fail HTML satu per satu. Kandungan boleh ditulis dalam format Markdown dan kemudian Jekyll akan menjana fail-fail HTML secara automatik berdasarkan layout dan konfigurasi yang kita telah tetapkan sebelum itu.

Maklumat lanjut integrasi GitHub Pages dan Jekyll boleh dibaca di sini

Antara kelebihan penggunaan GitHub Pages ini adalah:

  1. Ia percuma :)
  2. Anda boleh menggunakan social feature dalam GitHub untuk berkolaborasi membangunkan laman web anda, seperti melalui penggunaan pull request.
  3. Hanya gunakan Git untuk publish laman web anda, tak perlu FTP atau sebagainya.
  4. Secara tidak langsung, segala perubahan pada kod sumber laman web anda akan direkodkan.

Jadi, melalui GitHub Pages, anda boleh membina laman web korporat anda, laman peribadi, laman komuniti, atau pun blog dengan mudah dan murah.

Mengenai penulis

Ikhwan Hayat telah membina perisian secara professional sejak 2004. Kebanyakan masa dia bergelumang dalam platform .NET. Namun kadangkala tersesat pergi ke dunia PHP, Python, Ruby, Java, dan bahasa-bahasa pengaturcaraan lain. Sekarang berkerja sebagai pengaturcara secara freelance sepenuh masa.

Ikhwan Hayat has been developing softwares professionally since 2004. Main area of expertise is .NET, but often found getting lost in the world of PHP, Python, Ruby, Java, or some esoteric programming language. Available as a full-time freelance developer.

comments powered by Disqus